Impian yang Tersoal.

Aku ada banyak impian. Banyak.

Sejak aku darjah dua, aku dah pasang impian. Cikgu (sekolah aku dulu panggil muallim/ah) selalu tanya apa cita-cita aku? Dah besar nak jadi apa? Nak kerja apa bila dah besar nanti?

Dari situ aku pasang cita-cita aku yang pertama. Tak ada cita-cita yang aku pandang ketika itu.

Guru.

Jap aku bagi grand sikit,

GURU

Aku jenis yang suka bercakap. Jujur, setiap kali balik sekolah rendah, aku naik van. Dan kebiasaannya yang paling banyak bercakap dalam van ialah aku. Orang yang bagi respons cuma makcik drebar tu, itu pun mungkin atas dasar simpati rasanya. Yang lain semua dah penat nak layan.

Kecik-kecik lagi dah hambar.

Aku suka tengok cikgu mengajar, dengan sikap professionalisme yang aku lihat pada guru-guru aku, memang bohonglah kalau aku kata aku tak nak jadi guru. Satu lagi sebab aku suka jadi guru sebab boleh tunjuk pandai. Aku tak malu nak mengaku aku tak pandai mana pun masa sekolah rendah. Kuat tipu cikgu, selalu tak siap kerja, ponteng kelas, sampai satu tahap ayah aku kena panggil dengan guru besar sebab nak bincangkan masalah disiplin aku dalam akademik.

Balik-balik kena bantai dengan mak.

Tapi tu cerita dulu.


Bila aku masuk darjah lima, minat aku nak jadi cikgu makin malap sebab cikgu aku masa sekolah rendah dulu seperti, aku tak label, tapi aku kata seperti mendiskriminasikan aku. Sebab aku tak macam budak lelaki lain. Tak aktif kata mereka. Bila waktu sukan, orang lain main bola, aku macam biasa, kutip bola bila bola keluar.

Itu pun kalau ditakdirkan bola keluar. Kalau tidak borak dengan daun kering je lah.

Dekat kelas, aku pernah kena halau sebab cikgu salah faham dengan aku. Aku borak dengan kawan aku cakap pasal masalah tidur dalam kelas. Cikgu masuk, dia ingatkan kelas dia tu bosan jadi dia sangka aku promote orang lain untuk tidur dalam kelas dia.


Aku kena panggil ke depan. Kena terajang sekali, maki sekali, lepas itu aku kena halau keluar. Berdiri luar kelas.


Sejak itu aku benci dengan kehidupan sekolah aku. Sekolah rendah aku khususnya.

Namun, cerita itu tak habis macam sampah begitu sahaja.
Bila aku naik ke sekolah menengah kebangsaan, benda macam berubah sedikit. Suasana dan atmosfera (wahai) sekolah kerajaan agak lain.

Aku mula berkecimpung dalam dunia muzik. Cikgu aku dedahkan aku dengan muzik tradisional gamelan. Aku mula rasa seronok bila  aku dapat belajar satu ilmu baharu. Dari situ, impian dan cita-cita aku mula bercambah. Sekejap aku nak jadi pemuzik, sekejap penyanyi, sekejap penyampai berita, sekejap lagi pelakon.

Macam bagus kan? "Cambagus."
*hembus*

Aku noktahkan pengalaman hidup aku dan aku cuba kaitkan semula dengan impian yang tersoal dalam benak dada aku.
Sebab apa aku kata tergantung?
Sebab aku tak suka buat satu kerja yang sama sampai aku mati.

Tamsil, aku hendak menjadi cikgu. Tetapi menjadi cikgu semata bukan satu perkara yang aku suka. Masuk, mengajar, keluar, tanda buku, masuk, ulang. Aku nak jadi pemuzik tetapi aku tak nak jadi pemuzik sepanjang hayat. Hidup kau sepenuh jiwa raga dikorbankan semata-mata untuk muzik. Seronok, dan teatrikal mungkin. Tapi aku tak suka cara macam itu. Seolah-olah dunia aku hanya tertambak di situ sahaja.

Aku pernah ada angan nak jadi pelakon. Tapi aku takut, sebab lakonan aku itu, hidup aku jadi murah.
Aku jual emosi aku, perbuatan aku dan kata-kata aku sampai ke satu tahap aku tak mampu hidup normal sebab segala apa yang kau buat, orang rasa kau berlakon. Aku takut, orang lain akan berasa skeptikal dengan reaksi kita, walaupun reaksi kita memang normal. Sebab aku dah jual. Dan orang dah tahu jualan aku.

Di hujung hari, semua orang akan takut. Takut dengan impian mereka. Adakalanya, pada sudut pandangan aku yang maha marhaen ini, kita terlalu tunduk dengan impian kita yang barangkali tak pasti lagi selari dengan apa yang kita ingin dapat di hujung hari. Aku takut, impian aku akan membawa aku ke hujung lorong kehidupan yang bukan seperti yang aku sangkakan.

Allah sahaja yang mengetahui. Mohonlah agar Dia membawa kita ke penghujung yang kita semua ingini, walau dari mana pun impian kita, usaha kita dan cita-cita kita bermula. Amin.

"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar, serta diberikannya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya..."
(At-Talaq: 2 & 3)

1 comment:

  1. yang ni menarik hahaxD .. tejumpe kat google..nice blog simple.. do visit me ^^

    ReplyDelete

Who's there?