Kehidupan Asrama Ajar Aku... (BAB 1)

Assalamualaikum,

Dah lama tak update blog kan? Maaf.

Untuk hari ni, aku cuba isi semula kandungan blog ni secara berepisod. Ya, sendiri nampak pada tajuk entri kali ni.

Sebenarnya entri kali ini aku nak bincangkan semula hasil mahsul yang aku peroleh selepas dua tahun aku menjadi seorang pelajar sekolah berasrama penuh atau senang kata, asrama lah. Aku tak nafikan ramai dalam kalangan kita yang mempunyai 'feedback' yang pelbagai selepas menamatkan kehidupan persekolahan sebagai pelajar asrama. Ada yang positif, ada yang sebaliknya. Terpulanglah, apa yang aku akan ceritakan dalam entri kali ini kebanyakannya dirasai oleh semua atau sebilangan pelajar asrama.

Jadi, kehidupan asrama ajar aku untuk

Berdikari

Siapa yang tak rasa kan? Sebagai anak bongsu, kehidupan aku ibarat ready-made untuk aku. Kadang-kadang, mak ayah kita sendiri berada dalam situasi 'at your service' (sepertinya lah). Apa yang kau nak akan dapat macam tu je, atau segala keperluan kau lengkap. Jadi, seumpamanya kau hidup macam anak raja lah.

Macam bagus, kan? Macam bagus.

Aku secara jujurnya suka berada dalam zon macam itu, tapi ada kalanya terdetik dalam hati aku untuk cuba uruskan hidup aku sendiri. Aku cuba untuk mulakan permainan simulasi dalam diri aku. Aku yang kawal Sim aku (Simmers akan faham, hoho). Jadi kehidupan di asrama merupakan satu medan untuk aku belajar urus hidup aku sendiri. Daripada kau bangun tidur sampai kau tidur balik, boleh kata 70% rutin kau adalah di bawah tanggungan kau sendiri.

Jadi itu yang asrama ajar aku.

Aku belajar untuk jaga makan-minum aku, tidur bangun aku, solat aku. Cakap tentang solat, Alhamdulillah, aku sangat bersyukur Allah pilih aku sebagai salah seorang pelajar asrama. Sebab? Asrama ajar aku untuk jaga solat aku. Bukan secara harafiahnya, tetapi kehidupan di asrama itu yang mendidik diri aku untuk menjaga kesempurnaan solat aku. Jadi, bermula di asrama, banyak perkara yang aku perlu uruskan sendiri. Wang, pakaian, makanan, kesihatan, pelajaran, kawan-kawan. Tapi, aku tak kata aku mampu kawal kesemua aspek begitu sahaja.

Adakalanya, aku terjatuh juga.

Emosi aku jatuh, kesihatan aku merosot. Boleh kata emosi yang banyak kuasai hidup aku di asrama. Kalau tak semua, sikit pun jadi. Aku masih ingat hari ketiga aku berada di asrama, aku terus berlari ke kiosk telefon, telefon mak aku. Menangis, depan khalayak ramai. Tapi,

kisah pulak aku. Harhar.

Tapi kadang-kadang perkara tu bermusim, adakalanya selepas kau habis beremosi, kau akan jadi kuat balik. Percayalah, sindrom 'homesick' ni tak lama, dan tak selalu. Aku pernah kena homesick waktu nak hadapi peperiksaan. Tapi tak teruk pun. Kawan-kawan jugak tempat aku beremosi. Hahah, kesian kawan-kawan aku.

Pada masa yang sama, berdikari ini termasuklah kau tonjol dan asah daya dalam diri kau. Untuk pengetahuan, aku seorang yang gagap (Ya, aku mengaku. Jangan gelak.). Dalam masa yang sama, aku cuba serlahkan bakat aku dalam pengucapan awam. Aku suka bercakap di hadapan khalayak. Jadi aku cuba jadi seorang pengerusi majlis. Dari situ, kau akan mula belajar untuk meningkatkan daya kefasihan dan kejituan kau sewaktu berucap. Aku cuba sertai bahas Bahasa Inggeris, yang mana aku cukup lemah dalam pengucapan Bahasa Inggeris. Jadi aku belajar dengan melihat orang lain berbahas, tidak kira dia junior aku atau senior aku. Ada yang sampai satu tahap mampu berbahas secara spontan, dalam bahasa Inggeris. Aku ulang, bahas, spontan, Bahasa Inggeris.
Jadi tak salah kalau kau tak tahu atau tak pandai dalam satu-satu perkara, yang salahnya apabila kau tahu kau lemah atau tak pandai, tapi kau tidak ada usaha. Dalam makna kata yang lain, kau tidak berdikari. Itu kesilapan yang kebanyakan pelajar asrama lakukan, termasuklah aku sendiri.

Untuk diri sendiri, dan orang lain.

Bersambung, bab 2.

No comments:

Post a Comment

Who's there?